Okey, untuk tulisan kali ini, salahkan Sigur Ros. Sudah agak lama saya tidak mendengar Sigur Ros dan subuh ini saya mendengar lagu kugiran Iceland ini semula, dan macam biasa, lepas mendengar kugiran gila ini, biasanya saya akan berubah menjadi lebih sentimental atau melankolik.
Saya teringat tentang seseorang, kawan lama.
Teringat tentang bagaimana kami memanjat pagar apartmennya untuk menunggu bas di tengah panas yang terik. Teringat tentang bagaimana mamat ini cuba menjual E.P pertama kugirannya kepada kakak yang bekerja di 7 Eleven (dan kakak ini tolak mentah-mentah, sekarang mesti menyesalkan?). Teringat tentang seluarnya yang baggy dan rambutnya yang panjang mengurai. Teringat tentang bagaimana dia akan datang ke persembahan kugiran saya dan menyanyi-nyanyi gembira tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Teringat tentang bagaimana dia bersusah payah cuba untuk mempromosi muziknya. Teringat gitar Squier lamanya. Teringat bagaimana kami berjalan kaki dari One Utama untuk ke studionya (waktu itu dia bekerja di studio) di Taman Tun. Teringat tentang malam yang hujan lebat di Murni, di mana saya membelanja dia dan seorang lagi teman lama makan, dengan duit persembahan yang saya terima ketika bermain di sebuah universiti.
Kini, nampaknya, segala usahanya berhasil. Segala penatnya terbalas. Kadangkala bila melihat dia daripada jauh, saya bangga, kerana saya tahu bagaimana dia bersusah payah untuk memperjuangkan muziknya. Dia layak berada di tempat di mana dia berada sekarang.
Jadi, Ahad ini, saya mahu raikan muziknya, saya mahu bergembira!
Pakcik (A)narki
3 beberapa jam yang lalu
